PENUBUHAN KOR PERKHIDMATAN DIRAJA

PENUBUHAN KOR PERKHIDMATAN DIRAJA

PRA KEMERDEKAAN

 

Sejarah 1Pada dasarnya penubuhan Kor Perkhidmatan Diraja pada hari ini adalah berakar-umbi daripada penubuhan Kompeni Percubaan Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Ianya merupakan salah satu elemen logistik yang diletakkan di bawah Cawangan Kuartermaster yang mana ianya memberikan bantuan pengangkutan, bekalan dan sajian. Pada peringkat awalnya, hanya bantuan pengangkutan sahaja yang diberikan oleh elemen ini secara eksklusif, manakala bagi aspek bekalan dan sajian ianya diperolehi daripada kontraktor tempatan. Sistem bantuan logistik ini berkekalan sehinggalah penubuhan dua buah lagi Batalion Rejimen Askar Melayu pada tahun 1948.

Selepas Perang Dunia Kedua, Angkatan Tentera yang diterajui oleh pihak British telah disusun semula, ini kerana faktor ancaman pengganas komunis ketika Zaman Darurat yang pertama semakin meruncing. Sebuah unit logistik telah ditubuhkan untuk memberi bantuan perkhidmatan kepada dua buah Batalion Askar Melayu tersebut. Unit tersebut dikenali sebagai Malay Regiment Transport Unit (MRTU) yang berpengkalan di Port Dickson. Pada masa itu, bekalan rangsum basah dan kering bagi Batalion Askar Melayu telah disediakan oleh Imperial Indian Army Supply Depot yang berada di Seremban sehinggalah pada akhir 1948.

Sejarah 2Seterusnya ianya telah diambilalih oleh British Royal Army Service Corps (RASC) Supply Depot di lokasi yang sama. Bagi memenuhi keperluan memproses, membungkus dan menyimpan catuan bungkus dan juga catuan untuk guguran udara. Malay Regiment Supply Depot (MRSD) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MRSD kemudiannya telah dipindahkan ke Port Dickson dan seterusnya dibubarkan pada 1953. Mulai tahun 1954, catuan bungkus bagi kegunaan pasukan tentera telah diperolehi dari Polis Persekutuan Tanah Melayu dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Pembekalan Petrol, Minyak dan Pelincir (PMP) pula dikelolakan oleh RASC Supply Depot menerusi depoh bekalannya atau stesen-stesen minyak awam yang disahkan sehinggalah ke pertengahan tahun 1959.

Sejarah 3Pada tahun 1949, dengan tujuan untuk memantau keperluan berek anggota termasuklah stor perabot dan perkhidmatan utiliti (bekalan air dan elektrik) maka Barrack Services telah ditubuhkan dengan seorang Barrack Officer, Barrack Store Accountant (BSA) dan empat orang Barrack Inventory Accountant (BIA) yang berpengkalan di Port Dickson. Pada tahun 1952, ianya terus berkembang dengan penubuhan Stor Berek di Taiping, Perak. Pada tahun yang sama juga, Federation Regiment telah ditubuhkan yang bertujuan untuk membolehkan warganegara Malaya bukan melayu pada masa itu untuk berkhidmat dengan Angkatan Tentera. Justeru itu, MRTU telah ditukarkan desinasinya kepada Federation Transport Unit (FTU). FTU merupakan pasukan pengangkutan yang pertama di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Ianya mengandungi dua platun dan dilengkapi dengan 30 buah kenderaan dari jenis Bedford. Pada awal penubuhan, Kor Perkhidmatan telah banyak dipengaruhi oleh elemen-elemen dari RASC British yang telah memberikan impak dari aspek operasi dan juga pentadbiran pasukan. Kebanyakan sistem dan budaya kerja KPD pada hari ini adalah berasaskan pengaruh daripada pasukan berkenaan.

PASCA KEMERDEKAAN

Sejarah 4Tanggal 1957 merupakan detik yang amat bersejarah, bukan sahaja kepada negara malah ianya merupakan tahun keramat penubuhan Tentera Darat Malaya dan juga Kor Perkhidmatan. Pada awal 1957, telah dilihat peningkatan terhadap kekuatan Tentera Darat Malaya yang bersiap sedia untuk menghadapi 31 Ogos 1957. Justeru itu, bagi mengambil alih tugas bantuan logistik dari pihak British maka telah dirasakan keperluan untuk diwujudkan suatu organisasi bantuan logistik bersepadu. Berdasarkan keperluan tersebut, pada April 1957 telah ditubuhkan Army Service Corps (ASC) dengan menyatukan FTU, Malay Regiment Ordnance Depot dan Malayan Other Ranks From The REME. Walau bagaimanapun organisasi ini tidak berkekalan, pada 15 Julai 1957, Supply And Transport (S&T) Branch of the Department Of Land Forces telah ditubuhkan. Pengarah pertama pada masa itu adalah Leftenan Kolonel Chambers OBE. Pada tarikh yang sama, beberapa pasukan telah ditubuhkan iaitu 52 Coy RASC (MT) telah diserapkan TD Malaya dengan designasi 3 Transport Company ASC kemudiannya ditukarkan kepada 1 Transport Company ASC yang berada di bawah pemerintahan 1 Federation Infantry Brigade.

Pasukan Bekalan juga turut ditubuhkan pada masa itu adalah merupakan Federation Supply Depot (FSD) yang berpengkalan di Batu Caves. Seterusnya, FTU telah ditukar designasi kepada 3 Transport Company ASC dan sebuah unit British iaitu 29 Coy RASC (MT) turut diserapkan ke dalam ASC sebagai 2 Transport Company ASC. Ini merupakan detik permulaan evolusi penubuhan Kor Perkhidmatan (KP). Bagi menyokong elemen Angkatan Laut dan Udara Malaya yang baru sahaja ditubuhkan maka ASC turut diarahkan untuk memberikan bantuan logistik kepada tiga cabang perkhidmatan.

Oleh yang demikian, pada 27 Mei 1958, telah dikenal semula sebagai Armed Forces Maintenance Corps (AFMC). Elemen KP yang berada di dalam AFMC telah dikenali sebagai Federation Supply And Transport Service (FSTS). Perkembangan KP diteruskan dengan FSD telah ditukar designasi kepada 1 Federation Supply Depot pada Oktober 1958 sejurus Leftenan Kolonel H.I. Charkham menggantikan Leftenan Kolonel Chambers sebagai Ketua ‘Supply and Transport Branch’. Pada 01 Januari 1959, Federation Main Supply Depot telah ditubuhkan di Batu Caves.

Sejarah 5Pasukan Hantaran Udara (HU) turut ditubuhkan pada tahun yang sama apabila 22 anggota dari 1 Transport Company AFMC telah dipilih untuk menghadiri kursus bersama-sama 55 AD Coy RASC yang berpengkalan di Kuala Lumpur, pada Jun 1960 misi hantaran udara yang pertama AFMC telah dilaksanakan dengan Tentera Udara Malaya. Pada September 1960, Barrack Services pula telah distrukturkan semula dengan penyerahan Stor Berek kepada pihak Ordnans dan meninggalkan perkhidmatan utiliti kepada FSTS.

Sehingga tahun 1961, S&T Branch adalah yang mempunyai kawalan secara teknikal dan operasi terhadap pasukan-pasukan ASC, walau bagaimanpun perkara ini berubah semasa penubuhan HQ FSTS (AFMC) di Batu Kentonmen. Markas ini telah mengambil alih tanggungjawab untuk mengawal selia pasukan-pasukan FSTS di Semenanjung. Pada 1 Januari 1962, 1 FSD dan FMSD telah bergabung menjadi sebuah unit iaitu 1 Supply Company (AFMC).

Sejarah 7

Pada September 1962, anak tempatan pertama yang menerajui S&T Branch adalah Kolonel Ungku Ahmad bin Abdul Rahman. Pada Jun 1962, pasukan Hantaran Udara yang pertama telah ditubuhkan ianya dikenali sebagai Federation Air Supply Platoon berpengkalan di Kem Jalan Ampang. Kemudiannya ianya telah dinamakan 8 Air Supply Platoon pada 1 Disember 1962 dan kemudiannya telah digerakkan ke Taiping pada 1963. Sejurus penubuhan Malaysia, maka beberapa Markas KP telah diwujudkan antaranya adalah HQ FSTS AFMC South – Singapura (16 September 1963), HQ FSTS AFMC Borneo – Labuan (01 Januari 1965) dan HQ FSTS AFMC North – Taiping (16 September 1963). 1965 merupakan tahun yang signifikan kepada KP sebagai sebuah Kor, yang mana pada 9 April 1965 elemen-elemen di dalam AFMC telah dipecahkan sebagai sebuah kor. KP kemudiannya telah dikenali sebagai Malaysian Service Corps (MSC). Walau bagaimanapun, tarikh 15 Julai 1957 adalah merupakan tarikh yang telah ditetapkan sebagai Harijadi Kor Perkhidmatan, berdasarkan pengwujudan perkhidmatan bekalan dan pengangkutan di dalam ASC.

Pada tanggal 7 Jun 1997, Kor Perkhidmatan telah dianugerahkan gelaran ‘Diraja’ bersempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang ke 75 di Stadium Merdeka. Watikah tersebut telah diterima oleh pengarah ketika itu Kolonel Abdul Majid bin Daudsha (bersara Brigedier Jeneral). Bermula dari tarikh tersebut, Kor Perkhidmatan bergelar Kor Perkhidmatan Diraja.