KOLONEL YANG DIPERTUA KOR PERKHIDMATAN DIRAJA

KDYMM Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah

sultan kedah

Sultan Kedah telah diperkenan sebagai Kol YDP Kor Perkhidmatan Diraja. Baginda Tuanku juga kekal sebagai Kol YDP Rejimen Askar Melayu Diraja. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942, pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Bonda baginda, Tengku Asma merupakan puteri kedua Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Baginda diputerakan di istana kerabat diraja Kedah, Istana Anak Bukit pada zaman penjajahan British.

Baginda diputerakan dengan nama Tuanku Mahmud Sallehuddin dan dibesarkan di Istana Anak Bukit.Tuanku Sallehuddin ialah anakanda kesembilan daripada 14 adik-beradik dan paduka putera keenam daripada 7 orang putera. Ayahandanya Almarhum Sultan Badlishah (1894-1958), Sultan Kedah ke-27 dan ibundanya ialah Sultanah  Asma binti Almarhum Sultan Sulaiman (1911-1994) yang merupakan anak perempuan Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Saudara kandungnya ialah Almarhum Tunku Tan Sri Annuar, Tunku Tan Sri Abdul Hamid Thani, Tunku Dato' Seri Hosnah, Tunku Dato' Bisharah, Tunku Dato' Badriatul Jamal, Dato' Tunku Kamaliah dan Dato' Hajjah Tunku Nafisah manakala saudara tiri dari ayahanda yang sama ialah mantan Sultan Kedah dan Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-5 dan 14, Tuanku Abdul Halim dan Almarhum Tunku Abdul Malik dan Almarhum Tunku Annuar.

Tuanku Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid. Baginda berkelulusan pendidikan tinggi daripada College of Military Engineering Poona di India.Sultan Mahmud Sallehuddin diangkat sebagai Sultan Kedah pada 12 September 2017 selepas kemangkatan Sultan Abdul Halim pada 11 September 2017.

Kerjaya tentera Tuanku Sallehuddin bermula dengan menjalani latihan kadet di Akademi Ketenteraan India di Dehradun, India, dari 23 Julai 1962 sehingga 30 Jun 1963. Baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 23 Oktober 1963. Pada 12 Februari 1964, baginda ditugaskan sebagai leftenan dan ditempatkan dengan Batalion ke-2 Rejimen Melayu Diraja di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Baginda kemudian dipromosikan ke pangkat Kolonel.Sepanjang perkhidmatan, Tuanku Sallehuddin telah terlibat dalam beberapa operasi keselamatan di kawasan sempadan Thailand.

Sebelum pemakaman Allmarhum paduka kakanda baginda, Tuanku Sallehuddin, 75 tahun telah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September 2017 bagi menggantikan kakandanya, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mangkat pada hari sebelumnya iaitu pada 11 September 2017. Pengisytiharan itu diumumkan pada 1.55 tengah hari di Istana Anak Bukit oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Perkara Sembilan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan pelantikan untuk menaiki takhta kerajaan negeri Kedah ditetapkan Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja. Sejurus pengumuman itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, mengiring Tuanku Sallehuddin, untuk bersemayam di singgahsana, sebelum disusuli laungan "Daulat Tuanku" oleh hadirin sebanyak tiga kali diikuti tiupan nafiri dan bacaan doa oleh Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang. Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Kedah yang baru dibuat Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja Negeri Kedah pada hari kemangkatan Almarhum paduka kekanda baginda.