PENGARAH KOR PERKHIDMATAN DIRAJA KE-16

Brigendier Jeneral Wan Ghazali bin Wan Din

 

Pengarah 16

        Brig Jen Wan Ghazali bin Wan Din merupakan Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja yang Ke-16. Beliau telah dilahirkan di Jitra, Kedah pada 21 Mei 59 dan merupakan anak pertama daripada 6 adik-beradik. Kini, beliau telah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya iaitu Puan Malidza binti Mohd Zain. Sikap kepimpinan dan disiplin yang telah dipupuk sejak daripada awal persekolahan telah memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan pelajaran di peringkat menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 1976 hingga tahun 1978. Sebaik sahaja tamat pengajian di MTD, beliau telah memulakan kerjaya di dalam bidang ketenteraan apabila telah terpilih untuk menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) mulai 16 Apr 79.

       Pada 2 Apr 81, Brig Jen Wan Ghazali bin Wan Din telah ditauliahkan di dalam Kor Perkhidmatan Diraja dengan pangkat Lt Muda dan memegang jawatan sebagai Ketua Patun di 19 Kom Angkut KPD, Port Dickson. Sepanjang perjalanan kariernya, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting sama ada di dalam kor mahupun ATM/TD, antaranya:

1. MK ATM

  • PS 2 perundangan, Bahagian Perkhidmatan Anggota

2. MK Medan TD

  • Kolonel Logistik

3. MK Log TD

  • Ketua Kumpulan Kor Perkhidmatan

4. MK Latihan TD

  • PS 2 Undang-undang

5. MK TD

  • Pengarah Jab Arah Kor Perkhidmatan Diraja.
  • PS 1 Am/tadbir, Jab Arah Kor Perkhidmatan Diraja.
  • PS 1 Pengurusan , Jab Arah Kor Perkhidmatan Diraja.
  • PS 2 Tatatertib, Cawangan Sumber Manusia.

6. MK 1 Div

  • PS 1 Sel KP
  • PS 3 Undang-undang

7. MK 2 Div

  • PS2 Undang-undang

8. MTAT

  • Juruarah

9. PULMAT

  • Komandan

10. MTD

  • Komandan

           Kor Perkhidmatan Diraja amat berbangga kerana beliau merupakan antara pegawai kanan KPD yang  memiliki ijazah di dalam Pengajian Perundangan. Pada tahun 1987, beliau telah terpilih untuk mengikuti Pengajian Diploma Kajian Pentadbiran & Undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) mulai 1987 hingga 1990 dan seterusnya ke peringkat diploma lanjutan di institut yang sama pada tahun 1994 hingga 1995. Pada tahun 1997, beliau telah meneruskan pengajian beliau di peringkat sarjana undang-undang di Universiti Malaya (UM) selama 3 tahun mulai 1997 hingga 1999.

         Pada 1 Okt 08, Brig Jen Wan Ghazali bin Wan Din telah mendapat kepercayaan daripada pucuk pimpinan Tentera Darat apabila dinaikkan ke pangkat Kolonel dan menjawat jawatan sebagai Ketua Kumpulan Kor Perkhidmatan Diraja Pemerintahan Logistik Tentera Darat (MPLTD) sehingga tahun 2011. Seterusnya, pada tahun 2011 sehingga 2012, beliau telah ditukarkan ke Markas Medan Tentera Darat dan menjawat jawatan sebagai Kolonel Logistik. Pada 27 Sep 12, Kor Perkhidmatan Diraja telah mengukir sejarah, apabila beliau telah diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai komandan di Maktab Tentera Diraja (MTD) dan merupakan pegawai Kor Perkhidmatan Diraja yang pertama menjawat jawatan tersebut.

       Dengan izin Allah S.W.T, pada tanggal 14 Nov 16, Brig Jen Wan Ghazali bin Wan Din telah diberi mandat oleh pucuk pimpinan tertinggi TD untuk menyandang satu lagi jawatan penting di dalam Kor Perkhidmatan Diraja sebagai Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja yang Ke-16 dan dinaikkan ke pangkat Brigendier Jeneral di atas kepercayaan ini. Seluruh warga Kor merakamkan jutaan tahniah kepada Brig Jen Wan Ghazali bin Wan Din di atas pelantikan sebagai  Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja yang Ke-16.